Showing posts with label MOU. Show all posts
Showing posts with label MOU. Show all posts

Kerjasama Strategik antara 
RIYAZ International & Jin Jiang Hotels untuk Meluaskan Hospitaliti di seluruh Asia Tenggara
Pelancaran RJJ Hotels serta beberapa perjanjian penting mengukuhkan kedudukan Malaysia 
sebagai hab pelancongan dan pertumbuhan pelaburan serantau


Heyyy Gaizz!
Kumpulan hospitaliti milik Malaysia, RIYAZ International Sdn. Bhd., telah memeterai kerjasama strategik dengan Jin Jiang Hotels (China Region) bagi melancarkan RJJ Hotels Sdn. Bhd. dan meluaskan operasi mereka di seluruh Asia Tenggara dan rantau Asia Pasifik.


Sebuah majlis menandatangani perjanjian dan pelancaran telah diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) untuk meraikan detik bersejarah ini, dan telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, YBhg. Dato’ Hairil Yahri Yaacob, bagi pihak YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, 
Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri yang turut menyampaikan ucaptama. 

Majlis ini dihadiri lebih 400 pemegang taruh industri, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap peranan Malaysia sebagai hab pelancongan, hospitaliti, dan pelaburan rentas sempadan.

Pengarah Urusan Kumpulan RIYAZ International dan RJJ Hotels, Dato’ Sri Shaheen, 
memulakan cara dengan ucapan alu-alauan diikuti dengan ucapan oleh 
Naib Presiden Jin Jiang International, Zhou Wei.

Beberapa perjanjian penting telah dimeterai dalam majlis tersebut, termasuklah:

Perjanjian Lesen Pengurusan (MLA) antara RJJ Hotels dan Jin Jiang Hotels (China Region)

Perjanjian Usaha Sama antara RIYAZ International dan Permodalan Satok Berhad (PSB) 
untuk projek Metropolo Jin Jiang Sarawak

 
11 Perjanjian Pengurusan Hotel serta MoU di seluruh Malaysia

Perjanjian Lesen Pengurusan (MLA) telah ditandatangani oleh Dato’ Sri Shaheen dan Zhang Zhonghao, Naib Presiden Kanan Jin Jiang Hotels (China Region), dan disaksikan oleh Zhao Qi, Setiausaha Parti dan Pengerusi Jin Jiang International Group, bersama wakil-wakil kanan daripada 
RIYAZ dan Jin Jiang International.

Pemeteraian perjanjian ini menandakan pelancaran RJJ Hotels sebagai sebuah platform untuk 
memacu pertumbuhan dan pelaburan serantau, sekali gus mengukuhkan aliran hospitaliti 
melangkaui Malaysia dan China.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2008, RIYAZ International telah mengukuhkan kedudukannya dengan portfolio yang memenangi anugerah, merangkumi The RIYAZ, Dash, The Pure dan AQVA.


Sementara itu, Jin Jiang Hotels (China Region) adalah sebahagian daripada Shanghai Jin Jiang International Hotels Co., Ltd., yang merupakan salah satu kumpulan hotel terkemuka di dunia. 
Dengan lebih daripada 17,000 hotel dan 1.6 juta bilik di 55 negara, portfolionya merangkumi 
jenama premium, pertengahan, dan ekonomi. 

  

Menerusi RJJ Hotels, kumpulan itu akan memperkenalkan lima jenama utamanya, 
Metropolo Jinjiang Hotels, Lavande Hotels, Jinjiang Inn, Ginco dan Renjoy ke Asia Tenggara bagi memenuhi pelbagai keperluan perjalanan merangkumi segmen perniagaan dan percutian.

 


Petikan ucapan:


Ucapan dari YBhg Dato’ Hairil Yahri Yaacob, 
Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, 
bagi pihak YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, 
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia , berkata:

“Kerjasama antara Kumpulan RIYAZ dan Jinjiang Hotels (China) membuktikan keyakinan kukuh para pelabur terhadap ketahanan ekonomi Malaysia. Ia juga menekankan kepentingan kerjasama global dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk perdagangan, pelancongan dan pembangunan mampan. Akhirnya, nilai kerjasama seperti ini bukan sahaja diukur melalui jumlah bilik yang dibuka, tetapi melalui kualiti peluang yang dicipta untuk rakyat Malaysia: 
dengan mengambil kira berapa banyak PKS yang menyertai rantaian nilai; berapa ramai belia menerima latihan bertaraf dunia, dan sejauh mana keberkesanan kita mengintegrasikan kelestarian, 
daripada kecekapan tenaga hinggalah pengurangan sisa dalam operasi harian.”


Dato’ Sri Shaheen, 
Pengarah Urusan Kumpulan RIYAZ International dan RJJ Hotels berkata: 
“RJJ Hotels bukan sekadar pelancaran, ia adalah peluang untuk Malaysia menerajui era baharu hospitaliti rentas sempadan. Dengan kekuatan tempatan yang dimiliki oleh RIYAZ serta jaringan luas Jin Jiang, kami dapat memacu pertumbuhan yang meletakkan Malaysia di tengah-tengah landskap pelancongan Asia Tenggara.”


Zhou Wei, Naib Presiden Jin Jiang International (Group) berkata: 
“Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan kami, dan daya tahan yang ditunjukkan oleh Malaysia menjadikannya sebagai hab semula jadi. Kerjasama dengan RIYAZ membolehkan kami lebih memahami pasaran tempatan bagi membawa sumber global ke rantau ini 
dan menawarkan hospitaliti yang mencipta nilai jangka panjang.”


RIYAZ International dan Jin Jiang Hotels menegaskan komitmen mereka untuk memacu pertumbuhan hospitaliti yang mampan, dengan Malaysia sebagai hab utama dan Asia Tenggara 
sebagai destinasi pengembangan seterusnya.

MPOB & SumiSaujana bekerjasama untuk mengkomersialkan Poliol 
berasaskan Sawit untuk kegunaan Industri Global
Kerjasama Strategik Bertujuan Mempercepat Peranan Malaysia dalam Inovasi Kimia Mampan



Salam Korang,
SumiSaujana Group Berhad (“SumiSaujana” atau “Syarikat”) dan anak syarikatnya (“Kumpulan”), merupakan pengeluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (“O&G”), 
hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (“MPOB”) melalui pemeteraian Perjanjian Pelesenan dan Pengkomersialan. Perjanjian ini bertujuan untuk memanfaatkan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB (“Teknologi”) bagi pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio (“Produk”). 
Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Hotel Marriott Putrajaya ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia untuk memperluas aplikasi industri produk berasaskan sawit dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran kimia hijau global.

Teknologi yang dilesenkan oleh MPOB dibangunkan melalui penyelidikan yang menyeluruh, 
termasuk bagi penghasilan bahan perantara berasaskan sawit, poliol, dan poliol poliester bio yang menawarkan produk boleh diperbaharui, alternatif kepada bahan kimia berasaskan petroleum. 
Sebatian ini digunakan secara meluas dalam penghasilan poliuretana, yang menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk automotif, pembinaan, pelekat, salutan, dan barangan pengguna. 
Pasaran poliuretana global diunjurkan mencecah USD86.28 bilion pada tahun 2024, 
manakala pasaran bahan perantara berasaskan sawit dianggarkan bernilai USD17.0 bilion 
pada tahun 2022 – sekali gus menyerlahkan potensi pasaran yang besar.

Kerjasama ini mencerminkan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang lebih luas untuk meningkatkan nilai komersial minyak sawit melalui aplikasi hiliran bernilai tinggi. 
Kerjasama ini juga menyokong Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030 
(“PIKAS 2030”) yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi 
teknologi berasaskan bio yang mampan.

Pengarah Eksekutif/ Ketua Pegawai Eksekutif Sumisaujana, Encik Norazlam Bin Norbi, berkata, “Perjanjian dengan MPOB ini adalah langkah bermakna dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat. Kami melihat nilai yang besar dalam mengintegrasikan inovasi berasaskan sawit yang mampan ke dalam portfolio produk kami, membolehkan menembusi pasaran baharu sambil kekal seiring dengan peralihan global ke arah pembuatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Kami berbangga menjadi sebahagian dalam mengkomersialkan teknologi tempatan untuk impak global.”

Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB berkata, 
“Kerjasama ini bukan hanya melibatkan pemindahan teknologi, ia mengukuhkan peranan sinergi 
awam-swasta dalam pembangunan industri sawit yang mampan. Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global. 
Dengan memperluaskan potensi hiliran minyak sawit, kita bukan sahaja meningkatkan rantaian nilainya tetapi juga mempromosikan peranan Malaysia dalam pembuatan yang prihatin terhadap iklim.”

Kerjasama ini bukan sahaja mempercepatkan penggunaan komersial poliol berasaskan sawit, 
malah memperkukuh usaha negara dalam mentransformasikan industri menerusi kimia hijau. 
Ia membuktikan potensi minyak sawit melangkaui kegunaan dalam sektor makanan dan menunjukkan bagaimana inovasi, apabila digandingkan dengan rakan industri yang betul, boleh membawa kepada penciptaan nilai ekonomi dan alam sekitar yang sebenar.

Dengan aspirasi bersama dalam inovasi, kemampanan, dan kemajuan negara, MPOB dan SumiSaujana bersedia untuk membawa teknologi berasaskan sawit Malaysia ke sempadan industri baharu, memastikan ia bukan sahaja digunakan di dalam negara, malah diiktiraf dan diguna pakai di 
peringkat global.